Manfaatkan aplikasi 'Price Catcher' rancang perbelanjaan

Fuziah Salleh (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pelajar yang menikmati menu Rahmah pada Jelajah Menu Rahmah Peringkat Terengganu di sebuah restoran di Kijal pada Jumaat. - Foto Bernama
Fuziah Salleh (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pelajar yang menikmati menu Rahmah pada Jelajah Menu Rahmah Peringkat Terengganu di sebuah restoran di Kijal pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Pengguna terutama golongan suri rumah digalakkan supaya memanfaatkan aplikasi mudah alih Price Catcher bagi membolehkan mereka merancang dan mengawal kos sara hidup dengan baik.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, aplikasi itu dibangunkan khas untuk membantu pengguna mendapatkan barangan pada kadar harga paling rendah di kawasan masing-masing.

Justeru, katanya pengguna mempunyai pilihan dan boleh merancang perbelanjaan mengikut kemampuan dan keadaan kewangan keluarga masing-masing.

"Untuk suri rumah, kita ada aplikasi Price Catcher untuk tengok mana kedai yang tawar harga patut...apa kedai yang berpatutan dan boleh buat pilihan.

"Jadi, kalau dikatakan menu Rahmah tak sesuai untuk suri rumah kerana mereka perlu memasak, mereka masih boleh jimat dengan melihat harga barangan murah di Price Catcher," katanya kepada pemberita pada program Jelajah Menu Rahmah di Restoran Cahaya Mesra Seafood 4, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Fuziah berkata, hingga Januari lepas seramai 11,226 pengguna telah memuat turun aplikasi Price Catcher sejak ia dilancarkan pada Mac 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah premis yang menawarkan menu Rahmah di Terengganu menunjukkan perkembangan menggalakkan sejak ia dilancarkan pada 31 Jan.

"Saya difahamkan hingga 16 Februari lepas sejumlah 43 premis telah menyahut seruan kerajaan dengan melaksanakan menu Rahmah secara sukarela di Terengganu.

"Ini adalah perkembangan yang baik dan harapan saya lebih ramai peniaga akan turut serta dalam inisiatif ini," katanya. - Bernama