Hino, MLSB kerjasama lancar pusat servis di Muadzam Shah

Atsushi Uchiyama (depan, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan MARA, Datuk Julainie Mohd Salleh bertukar plak pada majlis pelancaran HASO Muadzam Shah pada Khamis.
Atsushi Uchiyama (depan, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan MARA, Datuk Julainie Mohd Salleh bertukar plak pada majlis pelancaran HASO Muadzam Shah pada Khamis.
A
A
A

HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) melancarkan rangkaian perkhidmatan baharunya melalui Pusat Servis Sah Hino (HASO) di bawah program pembangunan peniaga syarikat dengan kerjasama Mara Liner Sdn Bhd (MLSB), syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini pada Khamis.

Kerjasama antara Hino dan MLSB sebagai sebuah syarikat pengangkutan awam, perkhidmatan logistik, dan perkhidmatan bas itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui kemudahan untuk kenderaan komersial sedia ada.

Pengarah Urusannya, Atsushi Uchiyama berkata, kerjasama itu juga akan membantu mengembangkan lagi keupayaan perniagaan mereka termasuk rangkaian perkhidmatan pengedarnya manakala MLSB akan dapat dikomersialkan dan menjana pendapatan melalui pembangunan pusat perkhidmatannya sendiri.

Menurutnya, Hino membangunkan HASO pada awal 2021 untuk memberi sokongan selepas jualan kepada pelanggan meliputi semua kawasan operasinya.

"HASO yang baharu ini bukti tumpuan kami sebagai pemain industri kenderaan komersial terhadap perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada para pelanggan bagi memastikan kenderaan mereka berprestasi untuk kelancaran logistik serta operasi perniagaan.

"Melalui HASO ini, rangkaian perkhidmatan kami akan dapat diperkukuh dan dipertingkatkan merentasi piawaian rangkaian semasa.

"Di HASO, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan yang sama yang ditawarkan di Pusat Servis Hino yang lain seperti Program Perkhidmatan Percuma (FSP)," katanya.

Atsushi Uchiyama sebelum itu melancarkan HASO baharu di Muadzam Shah yang turut dihadiri Pengarah Hino, Ahmad Yasmin Yahya; Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abd Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan MARA, Datuk Julainie Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif MLSB, Zachary Ismail.

Jelasnya, Hino turut mempunyai tiga HASO yang beroperasi di Sungai Petani, Pulau Pinang, Semenyih,Selangor dan akan dibuka di negeri-negeri lain pada masa akan datang.

"Bandar Muadzam Shah, lokasi sesuai untuk HASO baharu bagi kemudahan pelanggan di sekitar kawasan pinggir bandar dan luar bandar kawasan Rompin selain menyokong hala tuju dan pendekatan kerajaan ke arah pembangunan kawasan tersebut.

"Hino dan MLSB yakin pembukaan HASO ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang baik bagi sektor luar bandar," ujarnya.

Atsushi Uchiyama berkata, pihaknya juga yakin dengan rekod prestasi, keupayaan dan kredibiliti MLSB dapat meluaskan capaian objektifnya dengan berkesan untuk memanfaatkan pelanggan.

"Kedua-duanya pihak mempunyai kepentingan bersama untuk individu untuk membangun, menggunakan dan secara sinergistik menyediakan penyelesaian serta sokongan yang komprehensif kepada pelanggan," katanya.

Jelas beliau, HASO Muadzam Shah yang terletak di Kawasan Perindustrian Muadzam Shah mempunyai ruang yang luas sesuai kemudahan dan keselesaan pelanggan yang datang untuk servis kenderaan mereka.

Menurutnya, pusat itu turut dilengkapi lima ruang perkhidmatan termasuk dua ruang pit lengkap dengan pelbagai peralatan termasuk sistem Diagnostik Hino terkini, DX II.

"Dengan kemudahan dimiliki, pusat ini mampu menyelenggara sehingga 12 kenderaan pada satu -satu masa.

"Sementara menunggu trak atau bas mereka siap, pelanggan boleh berehat di ruang istirahat yang menawarkan minuman dan WiFi percuma.

"Pusat ini perkhidmatan mempunyai 10 kakitangan yang terlatih untuk menyediakan rangkaian perkhidmatan komprehensif termasuk sokongan kerosakan 24 jam," katanya.