Shahrizat sah tanding Ketua Wanita UMNO

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan bertanding merebut jawatan yang pernah disandangnya itu dalam pemilihan parti akan datang.

Memetik laporan portal The Star, borang pencalonan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah dihantar oleh wakilnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.

"Alhamdulillah, borang pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita UMNO telah dihantar oleh wakil saya dan diterima oleh urusetia pemilihan pagi ini jam 11.30 pagi," katanya.

Penyerahan borang pencalonan tersebut menamatkan spekulasi berhubung pembabitan beliau dalam arena politik selepas berundur pada 2018 dan secara tidak langsung Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akan dicabar 'orang lama' dalam pergerakan sayap itu.

Dalam pada itu bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut meletakkan tanda pagar #TUDUNGMERAH bagi menggambarkan sokongannya terhadap sayap parti berkenaan.

"#TUDUNGMERAH kembali perkasa, #TUDUNGMERAH kembali bersuara, #TUDUNGMERAH kembali relevan, #TUDUNGMERAH ibu terbaik bangsa," katanya.

Sebagai rekod, Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2008 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya pada pemilihan parti 2018 ekoran mahu memberi laluan kepada muka baharu.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai sejak 1995 tewas kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 2,895 undi.