Polis siasat anggota didakwa ganggu rumah tangga orang

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Polis Daerah Melaka Tengah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan anggotanya mempunyai hubungan sulit dan mengganggu rumah tangga individu lain seperti yang tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia sejurus suami kepada wanita itu membuat laporan polis terhadap dakwaan salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan dan sampel video yang tular itu akan dihantar ke forensik untuk ditentukan kesahihan aduan yang dibuat oleh pengadu.

"Dalam isu ini saya tidak akan berkompromi jika ia melibatkan salah laku anggota.

"Memang polis tidak teragak-agak mengambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Jelas beliau, anggota itu masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes disiasat mengikut Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.

"Siasatan kes ini juga dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya lagi.

Sejak Khamis, tular hantaran di Facebook yang dibuat suami kepada wanita terbabit mendakwa seorang anggota polis yang mempunyai dua orang anak menganggu rumah tangganya.

Malah dalam video yang dimuat naik mendakwa anggota itu ditangkap dalam rumahnya ketika dia tiada di rumah.