Anwar singgah nikmati nasi ayam Hainan sebelum solat Jumaat

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini singgah di Medan Selera Taman Putra Perdana di sini bagi menikmati juadah tengah hari, nasi ayam Hainan sebelum bersolat Jumaat.

Anwar yang berbaju Melayu berwarna ungu tiba di medan selera berkenaan pada kira-kira jam 12.40 tengah hari dan menikmati hidangan nasi ayam Hainan hasil air tangan pemilik gerai, Shafeek Affendi Abdul Malik yang telah mengusahakan perniagaan terbabit selama 15 tahun.

Anwar turut menyapa para pelanggan yang sedang menikmati makanan tengah hari di medan selera berkenaan dan pelanggan memanfaatkan peluang bertemu pemimpin negara itu dengan berswafoto sebagai tanda kenang-kenangan.

Usai menjamu selera bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, Anwar beramah mesra dengan Shafeek Affendi sebelum bergerak ke Masjid Taman Putra Perdana yang terletak kira-kira tiga kilometer dari premis makanan itu.

Shafeek Affendi, 51, yang berasal dari Taiping, Perak menyifatkan kehadiran Anwar ke gerai beliau sebagai suatu pengalaman amat berharga kerana belum pernah menyajikan menu jualan beliau kepada mana-mana pemimpin negara.

"Saya rasa sangat teruja apabila diberitahu perdana menteri akan singgah makan di gerai saya. Alhamdulillah ada pemimpin nombor satu ingin merasa air tangan saya.

"Hari ini melakar sejarah bagi saya. Saya tidak pernah bersua muka dengan Anwar tetapi hari ini (teruja) dapat sediakan makanan tengah hari untuk perdana menteri kita,” katanya yang mula mempelajari cara memasak nasi ayam Hainan pada 1993. - Bernama