Dira sah bertanding Ketua Puteri UMNO

Dira bercakap pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Khas MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto Bernama
Dira bercakap pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Khas MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO.

Beliau berkata, borang pencalonannya akan dihantar hari ini.

"Saya sudah memaklumkan hasrat bertanding ini kepada Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) serta Pengerusi Perhubungan Negeri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh).

"Alhamdulillah, pemakluman kepada pihak pengurusan sudah selesai dan berjalan dengan lancar.

"Jadi, saya hanya nak maklumkan, dengan semangat demokrasi dalam parti ini, saya Dira Abu Zahar tawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn pada Khamis.

Ditanya mengenai jumlah sebenar pencalonan bagi merebut jawatan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim berkata, sekurang-kurangnya empat pencalonan telah diterima.

"Mengikut maklumat daripada presiden sendiri ialah seramai empat orang calon namun tidak pasti sekiranya saya antara empat calon tersebut. Kita berharap yang baik kepada semua calon untuk pemilihan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertandingan jawatan Ketua Puteri UMNO bukan sahaja untuk melakukan perubahan sebaliknya mampu membawa parti ke arah lebih baik.

"Siapa juga yang bakal menawarkan diri perlu mempunyai nilai tambah dan kita mampu bawa parti jauh lebih baik," katanya.

Media melaporkan, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan tidak mempertahan jawatannya kerana sudah melepasi had usia ditetapkan.

Setakat ini, beberapa nama dikenal pasti menyatakan hasrat bertanding jawatan itu, antaranya Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar dan Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Dr Maslina Harun.