DUN Batang Kali: Pejuang sedang dapatkan pengesahan tarikh

Muhammad Rafique (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.)
Muhammad Rafique (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedang mendapatkan pengesahan berhubung tarikh kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sebarang tindakan lanjut akan diambil setelah semakan tarikh tersebut dibuat.

“Kami baru sahaja mendapat pemakluman tentang perkara ini sama seperti semua orang.

“Pejuang dah hubungi beliau, kami sedang dapatkan pengesahan mengenai tarikh sidang DUN dan juga tarikh beliau hadir ke sidang berkenaan.

“Sebaik sahaja kita mempunyai pengesahan itu, kita akan beri maklum balas. Belum ada kepastian tentang tindakan lanjut sebab tengah kumpul tarikh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali.

Suee Lim memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas wakil rakyat berkenaan, Harumaini gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis sejak 28 Julai tahun lalu.

Beliau memaklumkan akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Harumaini ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, beliau akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung keputusan Speaker DUN Selangor itu.

Beliau mengakui terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana keputusan itu dibuat tanpa dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan hanya mengetahui melalui rakan-rakan dan hantaran di media sosial.