'Siasatan lanjut isu dalam laporan PAC amalan biasa'

Wong Kah Woh - Foto Bernama
Wong Kah Woh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan lanjut terhadap mana-mana isu yang telah dibentangkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke Parlimen, merupakan amalan biasa dan bukannya suatu yang asing.

Bekas Pengerusi PAC Parlimen ke-14, Wong Kah Woh berkata, tindakan susulan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, agensi audit atau agensi penguat kuasa, penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai institusi semak imbang yang penting.

"PAC Parlimen ke-15 yang bakal ditubuhkan oleh Parlimen sekiranya perlu, boleh membuat keputusan sama ada hendak mengadakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan vaksin Covid-19, dengan berpaksikan penemuan Kertas Putih yang bakal dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PAC Parlimen ke-14 telah menjalankan prosiding berkenaan isu perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia serta telah membentangkan Laporan PAC pada 1 Disember 2021 dan Laporan PAC berkenaan Tindakan Susulan pada 24 Mac 2022.

Pada 8 Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kertas Putih perolehan dan kos pembelian vaksin COVID-19, akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kerana didapati tidak mengikut prosedurm serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara. - Bernama