Gagal jelaskan RM17,700 dalam akaun, peniaga didenda RM800
KUALA LUMPUR - Seorang peniaga nasi lemak didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana gagal memberi penjelasan mengenai wang RM17,700 dalam akaun banknya tahun lalu.
Mohammad Arif Aziz, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada dalam milikannya wang tersebut dalam akaun Bank Islam yang secara munasabahnya disyaki telah (dicuri atau diperolehi secara curang) dari pemiliknya, seorang lelaki yang bekerja sebagai kakitangan khidmat pelanggan berusia 25 tahun.
Dia didapati gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai bagaimana dia memiliki wang tersebut di Cheras pada 25 Februari 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!