Lelaki lemas jatuh sungai ketika jaring ikan

Mayat mangsa diusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. (Gambar kecil : Nordin Kassim)
Pix ihsan JBPM
Mayat mangsa diusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. (Gambar kecil : Nordin Kassim) Pix ihsan JBPM
A
A
A

BERA - Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Ladang Risda Bera dekat Kemayan di sini pada Khamis.

Ketika kejadian, mangsa, Nordin Kassim, 60, sedang menjaring ikan bersama seorang rakannya di lokasi tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.43 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang terjatuh ke dalam sungai itu kemudiannya telah diselamatkan oleh rakannya.

"Namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa terjatuh kemungkinan mempunyai masalah kesihatan dan paras kedalaman air di lokasi kejadian sedalam satu meter," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, anggota terlibat mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.