Dewan Rakyat kecoh angkara isu istilah 'sembelih'

Dewan Rakyat - Foto Bernama
Dewan Rakyat - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) tidak berpuas hati dengan istilah yang digunakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Che Mohamad bangkit mempertikai penggunaan perkataan 'sembelih' oleh Guan Eng, sebelum beberapa ahli Parlimen lain turut sama terbabit berperang mulut dalam isu tersebut.

Keadaan itu semakin tegang apabila beberapa ahli Parlimen kerajaan mula bangkit mencelah dan 'menyerang' kembali Che Mohamad yang seolah-olah sengaja buat tidak tahu mengenai isu sembelih yang dibangkitkan oleh Guan Eng itu.

Alasan mereka kerana terdapat terbukti istilah yang digunakan itu melalui video yang tersebar sebelum ini.

Sebelum itu, Guan Eng ketika perbahasan berkata, bahawa menjana pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menjelmakan peluang pekerjaan yang adil antara penawar kepada racun ekstremis dan rasis yang amat berbahaya dan kini diamalkan penceramah hebat, tetapi langsung tidak prihatin atau jahil perihal ekonomi.

"Rukun Negara yang memupuk semangat muhibah dan ekonomi serta saling menghormati antara kaum harus diberikan penekanan dan jangan sesekali ada ucapan menghasut atau menyalahkan kaum bukan Islam sebagai punca rasuah di Malaysia, apabila rasuah tidak mengenal warna kulit," katanya ketika dalam Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, suasana bertukar kecoh apabila bekas Ketua menteri Pulau Pinang itu menyentuh mengenai ancaman sembelih terhadap golongan bukan Islam yang didakwanya semata-mata kerana melawan parti politik dan bukannya agama Islam.

Che Mohamad ketika mencelah ucapan Guan Eng mendakwa Ahli Parlimen Bagan itu cuba mengelirukan Dewan sambil merujuk Aturan mesyuarat di bawah perkara 36(12), dengan alasan ucapan itu seolah-olah menggambarkan orang Islam akan benar-benar menyembelih bukan Islam dan ia tidak benar sama sekali.

Ketika itu beberapa ahli Parlimen kerajaan mencelah mengatakan ada bukti video mengenai ucapan dimaksudkan Ahli Parlimen Bagan itu.

Sejurus itu bagi menenangkan keadaan, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong meminta semua ahli Parlimen yang bangkit duduk dan bertenang.

Guan Eng kemudian menyatakan ada bukti video mengenai kenyataan berkaitan sembelih itu dan laporan polis mengenainya pun sudah buat.

"Saya harap polis boleh ambil tindakan terhadap ucapan seperti ini," katanya.

Che Mohamad yang masih tidak berpuas hati terus bangkit sambil menjelaskan mengenai perbezaan antara kafir harbi dan kafir zimmi sambil mendakwa Ahli Parlimen Bagan itu keliru dengan tafsiran kedua-duanya.

Sebelum ini, seorang pelakon memohon maaf susulan kenyataannya yang mahu 'menyembelih' orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November tahun lalu.

Pelakon itu juga menafikan dirinya yang sebenar adalah terlalu ekstrem seperti kenyataannya yang tular dalam sebuah klip video, malah mendakwa ia disunting oleh pihak tertentu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan siasatan dilakukan susulan kenyataan didakwa berbaur perkauman dan ugutan menerusi video membabitkan pelakon terbabit sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.