'Bagi cadangan biar munasabah, masuk akal'

Mahfuz (kiri) dan Muhammad Sanusi.
Mahfuz (kiri) dan Muhammad Sanusi.
A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap cabaran Datuk Mahfuz Omar agar beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai tidak munasabah.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mencabar, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu sendiri untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Saya dah ada DUN saya di Jeneri, saya selesa di situ, rumah, kampung, adik-beradik saya di situ.

"Dia (Mahfuz) tak tahu kampung mana? Adik-beradik duk mana? Pasaipa (kenapa) suruh saya ke situ?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Daerah Sik dan Perasmian Kampung Sejahtera, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Mahfuz mencabar Sanusi meninggalkan DUN Jeneri dan bertanding di Derga atau Kota Darul Aman pada PRN akan datang.

Mahfuz berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memperlihat dirinya sebagai seorang menteri besar yang memiliki sokongan secara menyeluruh daripada rakyat Kedah.

Muhammad Sanusi menyerahkan geran tanah kepada penduduk Kampung Sejahtera, Sik pada Khamis.
Muhammad Sanusi menyerahkan geran tanah kepada penduduk Kampung Sejahtera, Sik pada Khamis.

Menurut Muhammad Sanusi, cadangan Mahfuz biarlah munasabah dan masuk akal memandangkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sendiri bergantung kepada pengundi bukan Melayu untuk menang.

"Bagi dia bertanding di Kota Darul Aman atau Derga kalau dia nak jadi ADUN, ada harapan nak jadi wakil rakyat. Bertanding di tempat pengundi Cina ramai sebab pengundi Melayu tak mahu dia, kalah 31,000 pengundi, nak kampoi (raih semula undian) macam mana," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mahfuz yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena selama empat penggal gagal mempertahankan kedudukannya di kerusi berkenaan selepas kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Yahaya dengan majoriti 31,751 undi.

Dalam pilihan raya tersebut Ahmad mendapat 52,275 undi, menewaskan Mahfuz dengan 20,524 undi, Noran Zamani Jamaluddin (BN) memperoleh 14,523 undi dan Noraini Md Salleh (Warisan) dengan 622 undi.

Sementara itu, dalam Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Daerah Sik dan Perasmian Kampung Sejahtera, seramai 132 geran tanah diserahkan Muhammad Sanusi kepada penduduk Kampung Sejahtera yang telah menetap lebih 40 tahun di kampung berkenaan.