PBNJ rangkul Anugerah Diamond, geran RM100,000

Mohd Anizam
Mohd Anizam
A
A
A

ANUGERAH Diamond (Diamond Award) selain geran berjumlah RM100,000 (Geran A) yang diterima pada Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023 pada Rabu adalah pengiktirafan besar kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Menurut Setiausaha Kehormatnya, Mohd Anizam Jamian, anugerah itu juga membuktikan kejayaan pengurusan PBNJ selaras dengan proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) seperti ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Bagi saya, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada PBNJ dan membuktikan kita sudah berjalan dengan tersusun sebagaimana ditetapkan pihak MFL apabila mulai 2022, kesemua persatuan bola sepak negeri, kelab dipisahkan di mana kelab diswastakan.

“Sebenarnya masih banyak (persatuan, kelab) berada di bawah bumbung yang sama, tetapi anugerah ini menjadi bukti, kita di PBNJ telah mengikut ketetapan berkenaan di mana di Johor kita dah pisah 100 peratus, kita ada pengurusan sendiri dan kelab JDT pula ada pengurusan mereka sendiri.

“Sebagai contoh, kita lebih fokus kepada usaha pencarian bakat-bakat baharu, program-program akar umbi, pembangunan bola sepak, kursus-kursus semuanya di bawah kita (PBNJ), namun bagi pencarian bakat untuk temasya sukan besar seperti SUKMA (Sukan Malaysia) kita letakkan di bawah JDT bagi menjadikan ia lebih kompetitif,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Anizam berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023 pada malam Rabu.

Untuk rekod, selain Anugerah Diamond, PBNJ turut menerima Geran A daripada pihak Kerajaan Negeri melibatkan bantuan kewangan berjumlah (RM100,000).

Sementara itu Mohd Anizam berkata, geran berkenaan dilihat bakal menyemarakkan lagi program-program pembangunan bola sepak di Johor selepas ini.

Justeru katanya, geran berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha menjamin pembangunan yang berterusan pada masa akan datang.

“Kita juga fokus kepada pertandingan-pertandingan dalam negeri...kita ada enam piala dan baru-baru ini kita juga terlibat dengan program pembangunan bagi futsal dan juga bola sepak wanita.

“Selain itu, kita juga memang ada berkolaborasi dengan pihak sekolah, khususnya sekolah-sekolah di luar bandar (bagi mencari bakat-bakat baharu),” katanya.