BAMTC 2023: India penentu nasib Malaysia

Tang Jie dan Ee Wei menyumbang mata kelima Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan B BAMTC 2023 menentang Kazakhstan di Pusat Pameran Dubai lewat malam tadi.
Tang Jie dan Ee Wei menyumbang mata kelima Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan B BAMTC 2023 menentang Kazakhstan di Pusat Pameran Dubai lewat malam tadi.
A
A
A

SEPERTI diramal, pertemuan menentang India pada petang ini menjadi penentu sama ada Malaysia mampu bergelar juara Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 atau sebaliknya.

Terdahulu, Malaysia tidak menghadapi masalah untuk merakamkan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kazakhstan 5-0 di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) lewat malam tadi.

Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menyumbang mata sulung selepas menewaskan Aisha Zhumabek straight set 21-6, 21-13 dalam masa 25 minit.

Mata kedua Malaysia hadir dalam acara perseorangan lelaki menerusi bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao yang mengatasi Dmitriy Panarin 21-12, 21-16.

Beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0 apabila menewaskan gandingan Nargiza Rakhmetullayeva-Kamila Smagulova 21-7, 21-7.

Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak beraksi pada pertemuan dengan UAE pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang UAE, menang 21-5, 21-17 ke atas Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melengkapkan kemenangan Malaysia dengan menghadiahkan mata kelima selepas menewaskan Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9, 21-10.

Pada Selasa, Malaysia yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir bagi memastikan slot automatik ke saingan Piala Sudirman di Suzhou, China Mei depan bermula garang apabila membenam UAE 5-0.