ADUN Kunak sedia disiasat SPRM

Norazlinah
Norazlinah
A
A
A

KUNAK - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tindakan meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini.

Katanya, jika Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mempunyai bukti kukuh bahawa beliau menerima imbuhan untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Mohd Shafie ada bukti kukuh. Saya beberapa kali menafikan sebelum ini kerana saya difitnah kemudian berani bertindak untuk membuat laporan polis.

"Saya keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Jika ada bukti, minta dilaporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Norazlinah berkata, sejak kebelakangan ini tindakan Warisan yang enggan menyatakan sokongan seperti dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) sehingga berlakunya pergolakan politik dan disifatkan sebagai sudah tidak sihat untuk Sabah.

"Keadaan polemik politik perlu berakhir agar semua ADUN diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci. Jangan heret ADUN serta parti ke kancah perebutan kuasa," tegasnya.

Sebelum itu, dalam sesi di Parlimen pada Rabu, Mohd Shafie mendakwa bahawa tiga ADUN Warisan telah 'dibeli' dan meminta SPRM menyiasat perkara itu.