Lelaki melaram dengan kereta curi ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PORT DICKSON - Keseronokan seorang lelaki 'bersiar-siar' dengan menaiki kenderaan yang dicuri di sebuah pasar mini Batu 6, Teluk Kemang di sini tidak bertahan lama apabila berjaya ditahan polis Ahad lalu.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Plaza Tol Lukut selepas satu jam kejadian dilaporkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun membuat laporan kehilangan kereta Proton Wira warna kelabu yang diletakkan di hadapan pasar mini tersebut pada jam 3 petang.

"Bertindak atas laporan, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson membuat hebahan kepada semua elemen penugasan mengenai kes kecurian kenderaan itu.

"Pihak polis dari Unit Peronda Lebuh Raya Seremban - Port Dickson (SPDH) Bukit Aman ketika sedang membuat rondaan berjaya mengesan kenderaan tersebut pada jam 4 petang dan menahan suspek," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu

Menurutnya, suspek dikatakan melarikan kenderaan tersebut dalam keadaan enjin masih hidup untuk tujuan bersiar-siar.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing dijalankan didapati negatif dadah.

"Suspek direman selama tiga hari bermula Isnin lalu hingga hari ini (Rabu) dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 41 1 Kanun Keseksaan iaitu mencuri," katanya.

Aidi Sham berkata, tertuduh dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Rabu atas pertuduhan mencuri, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah.

Ujarnya, mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan sebutan semula kes 7 Mac depan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan hendaklah juga dikenakan denda," katanya.