Gempa Turkiye: PM bangga dengan pasukan penyelamat Malaysia

Anwar (tengah) diiringi Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa (kanan) melihat keadaan bangunan yang runtuh akibat gempa semasa melakukan lawatan di Pusat Operasi SMART di Nurdagi hari ini. - Foto Bernama
Anwar (tengah) diiringi Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa (kanan) melihat keadaan bangunan yang runtuh akibat gempa semasa melakukan lawatan di Pusat Operasi SMART di Nurdagi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GAZIANTEP - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Malaysia di atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi di sini.

Beliau berkata, pasukan SAR negara yang terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang ditempatkan di Nurdagi telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan luar biasa yang boleh dibanggakan.

"Saya bangga sekali dengan pasukan kita yang telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa, pengorbanan yang luar biasa.

"Gabenor dan wakil gabenor di sini (Nurdagi) turut menyatakan bahawa pasukan kita menunjukkan dedikasi yang luar biasa. Saya bagi pihak seluruh rakyat ingin mengucapkan penghargaan dan doa kepada ALLAH SWT, mudah-mudahan beban rakyat di sini diringankan dan kita (Malaysia) akan buat sedaya upaya untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas melawat kem pasukan SAR negara di Stadium Nurdagi di sini, Rabu.

Anwar berkata sehingga semalam (Selasa), Malaysia telah berjaya mengumpul dana bantuan bencana di Turkiye sebanyak RM30 juta dan beliau akan berjumpa dengan Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan untuk menyampaikan bantuan berkenaan selain doa dan simpati rakyat Malaysia.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan SAR negara.

Ketibaan beliau di sini pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, disambut oleh Timbalan Komander Kontinjen SAR negara DSP Safrizan Suhaini dan Ketua Pasukan MAS-10 Abdul Manaf Che Isa.

Anwar kemudian diberi taklimat ringkas pengoperasian pasukan SAR negara oleh Safizan sebelum dibawa melihat peralatan dan kelengkapan SAR, serta dua anjing pengesan Frankie dan Denti yang dibawa ke sini.

Perdana Menteri kemudian turut berkesempatan memenuhi permintaan anggota pasukan SAR negara untuk duduk di atas padang bagi bergambar beramai-ramai sebagai pemangkin semangat, yang sekali gus menceriakan kem pasukan SAR negara.

Anwar dalam rangka lawatan mengejut ke Turkiye atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.

Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara.

Pada 11 Februari lepas, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.

Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat Turkiye dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain bantuan tenaga kerja bagi misi SAR, Malaysia turut menyalurkan bantuan dana kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria sebanyak RM20 juta.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Feb, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Setakat semalam pasukan SAR negara telah mengeluarkan 47 mayat dan menyelamatkan lima sekeluarga. - Bernama

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/