KJ dilantik Ahli Lembaga Pengarah JDT

Khairy sah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah JDT.
Khairy sah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah JDT.
A
A
A

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Penasihat Belia Johor.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pengalaman luas Khairy Jamaluddin akan memberikan pelbagai nilai tambah kepada bola sepak Johor.

"Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah JDT.

"Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali dengan panggilan KJ dianggap tidak asing dalam sukan bola sepak.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Ketika menduduki kerusi Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, beliau mencetuskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.