Hentikan intimidasi politik terhadap pempengaruh TikTok

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

KUANTAN - Pas menggesa agar kerajaan menghentikan sebarang intimidasi bermotif politik terhadap pempengaruh TikTok yang tidak berpihak kepada mereka.

Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu mengecam keras tindakan segelintir aparatus kerajaan yang melakukan intimidasi politik dan membuli pempengaruh media sosial yang mengkritik kerajaan.

Menurutnya, perbuatan tersebut adalah tidak bermoral dan bercanggah dengan hak berpolitik serta kebebasan bersuara yang sering diagungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Disebabkan mereka ini dilihat berpengaruh dan lantang, mereka (pempengaruh) telah diasak dan ditakutkan oleh aparatus kerajaan.

"Tidak sekadar itu, mereka ini dibuli dan diugut oleh penyokong-penyokong PH. Ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun dan tiada adab serta memburukkan lunas demokrasi negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerantut itu turut memberitahu bahawa pihaknya juga mendesak tindakan lebih profesional diambil jika didapati pempengaruh TikTok terlibat telah melanggar undang-undang.

"Pas percaya ancaman ini dipengaruhi oleh segelintir ahli politik PH yang tidak senang dengan gelombang yang dicetuskan Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Jangan baling batu sembunyi tangan dan menjadi dalang sebenar terhadap perkara ini. Malaysia Madani tiada tempat untuk ahli politik yang berfikiran sempit dan berjiwa kecil," ujarnya.