Tiga beradik berdepan detik cemas rumah dilanda ribut

Edil Mustafa bersama dua daripada tiga anaknya menunjukkan serpihan bumbung rumah mereka yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada Isnin. Gambar kanan: Keadaan bumbung rumah sewa yang didiami Edil Mustafa bersama tiga anaknya rosak teruk dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada Isnin.
Edil Mustafa bersama dua daripada tiga anaknya menunjukkan serpihan bumbung rumah mereka yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada Isnin. Gambar kanan: Keadaan bumbung rumah sewa yang didiami Edil Mustafa bersama tiga anaknya rosak teruk dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada Isnin.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Tiga kanak-kanak yang ditinggalkan bapanya semasa keluar bekerja berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Plentong Baru, dekat sini dilanda ribut dalam kejadian hujan lebat pada Isnin.

Menurut bapa tunggal kepada tiga beradik berusia lima hingga 12 tahun itu, Edil Mustafa Abdul Rahim, 48, kejadian tersebut berlaku kira-kira pada jam 2 petang semasa hujan lebat.

"Saya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anak sulung saya. Saya bekerja sebagai pemandu lori dan ketika kejadian saya berada di Taman Impian Emas.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan kerana memikirkan keselamatan anak-anak sebelum bergegas pulang ke rumah.



"Saya bersyukur kerana kesemua anak saya berada dalam keadaan selamat. Saya dapati kerosakan hampir 40 peratus pada bahagian bumbung rumah akibat diterbangkan angin kencang," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Dia bersyukur semua anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terdapat serpihan bumbung jatuh di halaman rumah.

"Anak-anak menceritakan terdengar bunyi kuat dari luar rumah serta berasa seperti ada gegaran ketika kejadian," katanya.

Edil Mustafa berkata, kediaman yang didiaminya sekeluarga itu adalah rumah sewa dan buat sementara waktu dia hanya memasang kain kanvas bagi mengelak air hujan masuk ke rumah.

Dia kini mengalami masalah kerana tidak dapat berhubung dengan tuan rumah untuk memaklumkam masalah berkenaan.

"Kos baik pulih bumbung ini dijangka melibatkan kos RM2,000. Ini menyukarkan saya kerana perlu mengurus tiga anak serta persekolahan mereka dengan pendapatan saya pula bawah RM2,500," katanya.

Dia yang sudah berpisah dengan bekas isterinya sejak hampir enam bulan lalu berharap masalah berkenaan cepat diselesaikan.