Pembangkang dakwa kerajaan mahu tutup mulut pengkritik

Wan Saiful (tengah) semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Selasa.
Wan Saiful (tengah) semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang mendakwa kerajaan sedang menggunakan kuasa yang dimiliki untuk menutup mulut pengkritik bagi menjaga kuasa mereka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa pihaknya mempunyai bukti bahawa perkara berkenaan berlaku ketika ini.

"Saya ada bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN menggunakan kuasa dan mempergunakan agensi-agensi penguatkuasaan bukan untuk menjaga rakyat tetapi untuk menjaga diri sendiri dan kerajaan.

"Ada aktivis media sosial yang cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) menerima notis daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang meminta agar kata laluan untuk telefon pintar serta akaun Facebooknya diberikan," dakwanya semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Selasa.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, seorang individu lain pula dirampas telefon bimbit serta kad SIM manakala seorang lagi aktivis dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

"Seorang ahli Dewan Rakyat juga dipanggil pihak berkuasa kerana menerbitkan bahan dianggap tidak sesuai atau mencabar kewibawaan kerajaan.

"Ahli Parlimen pun kena panggil, jadi mana kebenaran dakwaan menteri bahawa mereka tidak mempergunakan undang-undang, peraturan dan agensi kerajaan untuk kepentingan peribadi?," soalnya.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semasa Waktu Pertanyaan Menteri bahawa kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjelaskan, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk platform media sosial membawa kepada sekatan ke atas kandungan tertentu dan bukannya pemilik akaun secara individu.

Wan Saiful berkata, jawapan diberikan Fahmi bercanggah dengan keadaan yang berlaku kerana sememangnya bukti menunjukkan bahawa kerajaan mempergunakan segala agensi dan segala kuasa yang ada untuk mempertahankan diri sendiri.

Susulan itu, beliau mendesak kerajaan memastikan tiada sekatan dikenakan terhadap kebebasan bersuara di negara ini.