SPRM tumpu kes skala besar demi selamatkan wang rakyat - PM

Anwar dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan kepada kes berskala besar demi menyelamatkan wang rakyat.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, siasatan SPRM tidak lagi sekadar tertumpu kepada kes kecil atau membabitkan golongan 'ikan bilis' semata-mata.

Katanya, sasaran utama SPRM kini adalah melaksanakan siasatan dan pencegahan berkesan serta pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

"Tumpuan SPRM sekarang adalah rasuah berskala besar. Kalau dulu, terlalu banyak masa dan tenaga untuk menumpukan perhatian menangkap ikan bilis dan ini tidak akan banyak membantu kerana rasuah adalah satu hal yang sistematik," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui SPRM untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak besar dan kesan nyata bagi mencapai agenda yang digariskan sekali gus memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Anwar memberitahu, antara kes berskala besar sedang disiasat SPRM adalah skandal air terbesar di Sabah melalui Ops Water melibatkan penyelewengan infrastruktur mencecah RM3.3 bilion di mana setakat ini aset berjumlah RM63 juta berjaya dikembalikan dan kes masih berjalan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM juga menyiasat sindiket bitcoin membabitkan kecurian bekalan elektrik dengan kerugian sehingga RM2.3 bilion antara 2018 hingga 2021 menerusi Ops Power.

"Turut disiasat kes tuntutan palsu dalam insentif semasa Covid-19 membabitkan Program Penjana Kerjaya melalui Ops Hire, dengan (wang) diselamatkan sebanyak RM426 juta.

"Kemudian, sindiket pengurangan saman trafik yang juga membabitkan kelompok dalam sindiket kartel, seperti yang terdapat dalam Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum ini yang mencecah jutaan ringgit," ujarnya.

Anwar menegaskan, beliau percaya penumpuan kepada kes skala besar berkenaan yang sudah dan sedang dijalankan akan memastikan rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik melihat SPRM lebih agresif dalam menangani rasuah dan ketirisan seperti yang dititahkan dalam Titah Diraja.

Sementara itu, beliau menambah, kerajaan juga berhasrat meneruskan penggubalan akta pendanaan politik namun ia masih di peringkat awal.

Anwar berkata, beliau yakin jabatan kerajaan yang berkaitan, SPRM dan parti politik telah meneliti cadangan untuk penggubalan undang-undang berkenaan.

"Kita melihat laporan dikemukakan dan saya percaya, jabatan berkenaan akan meneliti, bukan saja SPRM tapi juga parti politik, sebelum ia dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan," ujarnya menjawab soalan tambahan Su Fui berhubung penggubalan undang-undang berkaitan pendanaan politik.