Kejayaan lima dekad LPP

LPP komited fokus tiga hala tuju MAFS hadapi cabaran ekonomi masa kini

A
A
A

LPP mengukuhkan peranan menerusi hala tuju utama MAFS bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa di samping menjaga kebajikan peladang.
LPP mengukuhkan peranan menerusi hala tuju utama MAFS bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa di samping menjaga kebajikan peladang.

Sepanjang 50 tahun penubuhan, pelbagai fasa turun naik telah dihadapi oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam usaha membangunkan sektor pertanian negara.

Ini termasuklah peranannya dalam meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar iaitu para Peladang melalui program dan aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi mereka.

Dalam tempoh ini, LPP terbukti berjaya menjadi pemacu kepada transformasi industri agromakanan yang dinamik dengan objektif untuk menjamin bekalan makanan.

Ia sekali gus menjadikan industri agromakanan berdaya saing dan mampan dalam meningkatkan tahap pendapatan ahli peladang.

“Kita mula dengan benih, tanam, menggred dan menuai. Kita juga membantu peladang menjual hasil tanaman mereka di pusat-pusat pengumpulan atau Peladang Outlet, kemudian melaksanakan penjualan.

“Ketika ini sudah ada 162 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di setiap kawasan. Peladang hanya perlu tanam dan tidak perlu khuatir bagaimana hendak memasarkan hasil.

“Apabila sudah timbang, lihat gred dan beri slip invois, hari yang seterusnya (wang) akan dimasukkan ke dalam akaun peladang. Hasil akan dipasarkan kepada semua pasar raya yang mempunyai persetujuan bersama,” jelas Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim.

Hala tuju LPP

Ternakan lembu filot berskala besar antara fokus untuk meningkatkan pengeluaran.
Ternakan lembu filot berskala besar antara fokus untuk meningkatkan pengeluaran.



Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) baru-baru ini telah menggariskan lima (5) fokus utama bagi menjayakan agenda Keterjaminan Makanan Negara.

Fokus tersebut adalah memperkasa industri akuakultur, memperluas penternakan lembu secara fidlot, penanaman jagung bijian, peranan belia dalam pertanian dan latihan.

Selain itu, hala tuju lain termasuk mempertingkat pembabitan golongan belia dalam industri pertanian pintar dan memperkasakan institut latihan pertanian.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab melahirkan peladang produktif di negara ini, LPP terus berusaha mengukuhkan peranannya dengan memfokuskan tiga hala tuju utama sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi masa kini, di samping menjaga kebajikan peladang.

Menurut Azulita, tiga hala tuju berkenaan adalah melaksanakan penternakan membiak baka (ingreeding) dan ternakan lembu fidlot berskala besar, fokus pada pembangunan usahawan muda dalam program agromakanan serta membantu usahawan wanita meningkatkan hasil pengeluaran.

“Penternakan biak baka dan fidlot berskala besar dilaksanakan di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kita juga akan selaraskan dengan penglibatan penternak muda. Penternakan lembu daging untuk biak baka, seterusnya penggemukan agar bekalan daging dalam negara dapat ditingkatkan.

“Saya harap semua warga kerja LPP bersama Pertubuhan Peladang dan juga peladang-peladang seluruh Malaysia melihat dan meneliti fokus yang telah dinyatakan oleh YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Pembangunan usahawan

No Image Caption



Bagi merealisasikan fokus itu, peruntukan yang besar akan disediakan dalam usaha memberi bantuan kepada golongan peladang muda.

Melalui kelulusan kerajaan pusat, LPP mempunyai hampir RM12 juta pembangunan usahawan muda yang akan menjadi fokus untuk tahun ini.

Selain itu, LPP juga akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan usahawan wanita untuk menambah pendapatan mereka.

“Itu penting untuk kita laksanakan. Kita sediakan bantuan melalui pegawai terlatih yang akan memberikan khidmat nasihat kepada usahawan peladang dan juga dalam program pembangunan peladang.

“Mereka inilah yang akan turun ke lapangan bagi memastikan kejayaan terhadap projek-projek yang dilaksanakan oleh usahawan. Ia akan dilakukan secara berpusat,” ujarnya.

Sudah tentunya hasrat untuk merealisasikan hala tuju yang digariskan oleh agensi yang sudah bertapak selama lima dekad itu melibatkan komitmen dan disiplin banyak pihak.

Justeru, LPP kali ini akan melakukan perubahan dengan mengambil pendekatan melaksanakan program pembangunan berskala besar.

“Tidak akan ada lagi program secara kecil-kecilan. Misalnya kita tidak buat 1,000 polibeg cili, sebaliknya kita akan laksanakan program berbentuk pertanian satelit seperti di PPK Selama, Perak, seperti mana Satelite Farming sedia ada di PPK Kuala Langat.

“Kita akan buat lebih 4,000 sehingga 10,000 polibeg. Ada juga usahawan PPK yang sudah capai lebih daripada 50,000 (polibeg),” katanya.

Ujarnya, penglibatan program pembangunan atau pengeluaran agromakanan berskala besar telah berjaya menghasilkan keuntungan yang begitu baik dalam kalangan usahawan.