Gempa bumi Turkiye: Cuaca sejuk tak halang misi pasukan SAR negara

Pasukan MAS-10 bersama pasukan bantuan tempatan melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi pada Isnin. - Foto Bernama
Pasukan MAS-10 bersama pasukan bantuan tempatan melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

GAZIANTEP - Biarpun berdepan dengan cuaca sejuk yang melampau, namun ia bukan penghalang untuk pasukan mencari dan penyelamat (SAR) Malaysia meneruskan misi mencari mangsa gempa bumi Turkiye di Nurdagi, di sini.

Pengarah Bahagian Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebaliknya kesemua anggota pasukan terus bersemangat tinggi dan bermotivasi, lebih-lebih lagi selepas berjaya mengeluarkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam runtuhan bangunan, Sabtu lepas.

"Alhamdulillah, walaupun berhadapan cuaca sejuk melampau sehingga mampu mencecah paras -10 darjah Celcius apabila tiba waktu malam, namun anggota pasukan SAR kita masih bersemangat tinggi.

"Kita akan menghantar lebih banyak barangan keperluan untuk kegunaan mereka bagi menghadapi cuaca sejuk itu,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas melakukan lawatan ke pusat operasi pasukan SAR negara, di Stadium Nurdagi, di sini pada Isnin.

Khairi (kanan) memberi kata-kata semangat kepada petugas Pasukan MAS-01 dan MAS-10 sebelum melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi pada Isnin. - Foto Bernama
Khairi (kanan) memberi kata-kata semangat kepada petugas Pasukan MAS-01 dan MAS-10 sebelum melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi pada Isnin. - Foto Bernama

Dalam lawatan berkenaan, Mohd Khairi turut meninjau khemah operasi pasukan serta menerima taklimat mengenai operasi SAR.

Selain itu, Mohd Khairi turut menyampaikan barangan keperluan seperti pakaian sejuk tambahan, selimut tebal dan barangan makanan untuk kegunaan pasukan SAR negara.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut ribuan nyawa dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa minggu lepas mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. - Bernama


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/