Tiga kali datang sebelum larikan gelang emas RM17,000

Suspek yang mengambil gambar rantai tangan emas (gambar kecil) sebelum melarikannya pada Sabtu lalu.
Suspek yang mengambil gambar rantai tangan emas (gambar kecil) sebelum melarikannya pada Sabtu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai emas mengalami kerugian lebih RM17,000 selepas seutas gelang tangan dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Che Su di sini pada Sabtu lalu.

Kejadian berlaku pada jam 4.48 petang itu melibatkan barang kemas dengan reka bentuk terkini seberat 62 gram (g).

Pekerja kedai terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 25, berkata, lelaki yang melarikan gelang emas terbabit dilihat tiga kali datang ke kedai tersebut dan pertama kali ke kedai berkenaan kira-kira jam 4 petang pada Sabtu, bertanyakan mengenai barangan kemas bernilai kira-kira RM1,000 konon untuk dibelikan kepada anak perempuannya.

“Beberapa barang kemas ditunjukkan tetapi dia tidak berkenan. Keesokkannya dia datang lagi melihat barang yang lebih mahal iaitu RM2,000 namun tetap tidak bersetuju untuk membelinya.

“Selang seminggu, dia datang lagi dan membelek-belek sekitar sejam serta mengambil gambar rantai tangan berharga RM17,000 tersebut sebelum secara tiba-tiba melarikan diri dengan barangan itu,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurut Zulkifli, seorang pekerja cuba mengejar suspek sejauh 500 meter namun lelaki tersebut berjaya meloloskan diri di dereten bangunan kedai di lokasi tersebut.

“Saya tak jangka dia nak merompak sebab beranggapan pelanggan yang datang acap kali ini, kebiasaannya memang berniat untuk membeli barang kemas.

“Ini adalah kejadian kedua berlaku selepas emas di kedai ini pernah dicuri oleh pelanggan yang konon datang hendak membeli emas,” katanya.

Sebelum itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di aplikasi WhatsApp memaparkan tindakan lelaki tersebut yang bertopi dan memakai baju kemeja T merompak barangan terbabit.