TNB guna LSD, inisiatif elak 5,000 pokok ditebang setahun

Penggunaan LSD yang boleh diguna semula sehingga lima kali adalah
salah satu alternatif kepada dram kayu dalam pembekalan kabel.
Penggunaan LSD yang boleh diguna semula sehingga lima kali adalah salah satu alternatif kepada dram kayu dalam pembekalan kabel.
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan projek perintis penggunaan Light Steel Drum (LSD) dalam pembekalan kabel sebagai salah satu alternatif kepada dram kayu mulai Mac depan akan mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, ia salah satu lagi inisiatif yang dilakukan TNB sejajar komitmen syarikat terbabit terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Inisiatif ini akan mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram bagi penggunaan pelbagai saiz kabel di mana projek ini dimulakan dengan Tenaga Cable Industries Sdn Bhd (TCI).

"Sekiranya pelaksanaan ini memberi impak serta memberi manfaat kepada persekitaran, maka ia akan dilanjutkan penggunaannya kepada pengilang kabel yang lain," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

BAHARIN
BAHARIN

Mengulas lanjut, Baharin memaklumkan, projek perintis itu juga menjadi sebahagian daripada usaha proaktif TNB untuk menangani Skop 3 Pelepasan dalam memastikan ekosistem vendor dan rantaian bekalan TNB juga mematuhi piawaian ESG.

Beliau menjelaskan, projek perintis LSD yang boleh guna semula berkenaan dilaksanakan dengan jayanya sejak Mac tahun 2022,dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah TNB pada November lalu.

“Sebenarnya kami telah menukar cabaran kekurangan bekalan dram kayu menjadi peluang meneroka solusi baru yang bukan sahaja menjamin pembekalan kabel, malah menyumbang kepada peningkatan komitmen terhadap ESG,” ujarnya.

Kejayaan projek perintis itu adalah melalui usaha Bahagian Procurement & Supply Chain (P&SC) dengan kerjasama TCI dan Bahagian Rangkaian Pembahagian (DN) serta di enam tapak projek di sekitar Lembah Klang.

Tambah Baharin, pemerhatian dan analisis mendapati penggunaan LSD adalah lebih berkesan dan tahan lasak berbanding Hybrid Drum.

Katanya, setiap LSD boleh diguna semula sehingga lima kali, sekali gus dapat mengelak penggunaan dua hingga tiga batang pokok balak dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih banyak karbon dioksida dapat diserap oleh pokok yang diselamatkan.

Beliau berkata, kekurangan sumber kayu telah menyebabkan pembekal menaikkan harga dram kayu secara mendadak sehingga 50 peratus pada penghujung tahun 2021 dan tempoh pesanan mendapat bekalan mengambil masa hingga empat minggu, lantas boleh menjejaskan urusan pembekalan kabel.

“Penggunaan LSD ini antaranya mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi iaitu kayu balak untuk pembuatan dram kabel, menjamin pembekalan kabel dan turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem.

"Selain memberi kesan positif kepada alam sekitar, LSD yang dipasang dengan alat pengesan untuk mengumpul maklumat termasuk lokasi dan status pergerakan, turut membantu langkah mencegah kecurian," jelas Baharin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata, Bahagian Procurement & Supply Chain dan TCI merintis projek LSD ke arah 'Green Curve' dalam usaha mendukung komitmen ESG TNB.

Ujar beliau, ia bertepatan dengan usaha untuk terus membekalkan elektrik berdaya harap serta ke arah kehidupan lebih sejahtera dan lestari, seperti mana komitmen Pelan Peralihan Tenaga TNB.