Penyamun berparang ugut, ikat dua beranak

Antara barang yang dirampas susulan tangkapan dua suspek di sekitar Klang dan Kuala Langat pada Ahad. - Gambar kecil: Wan Azlan
Antara barang yang dirampas susulan tangkapan dua suspek di sekitar Klang dan Kuala Langat pada Ahad. - Gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua beranak berdepan detik cemas selepas diacu parang dan diikat sekumpulan penjenayah yang bertindak menyamun di sebuah rumah di USJ 9, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 43 tahun yang sedang tidur di bilik tingkat atas rumahnya dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang bertindak mengacu parang sebelum diikat dengan wayar pengecas telefon.

Menurutnya, suspek turut mengikat tangan ayah mangsa sebelum membawa mereka turun ke tingkat bawah.

"Rakan sejenayah suspek iaitu seorang wanita kemudian turut bertindak mengikat pembantu rumah mangsa menggunakan wayar seterika.

"Suspek kemudian telah menggeledah dan mengambil barang kemas, telefon bimbit serta wang tunai dengan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,000, sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang memakai pelitup muka dan sarung tangan bertindak memanjat tembok rumah serta masuk melalui tingkap terbuka di tingkat atas.

Tambah Wan Azlan, bertindak hasil maklumat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya menahan dua suspek pada hari sama di Klang dan Kuala Langat.

"Suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan pada jam 7 petang manakala suspek wanita berusia 26 tahun ditahan kira-kira jam 9 malam," ujarnya.

Wan Azlan berkata, polis turut merampas beberapa barang antaranya telefon bimbit, tablet, pakaian, dokumen diri selain sebuah kenderaan.

"Polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata dan satu kes pecah rumah di daerah berkenaan susulan penahanan suspek itu," katanya.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S Anthony John di talian 016-2093470 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.