Agong rasmi istiadat pembukaan penggal kedua Parlimen ke-15

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Bendera Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu Kebangsaan 'Negaraku' dimainkan.

Al-Sultan Abdullah kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya baginda berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ kali kedua, sebelum lagu Kebangsaan 'Negaraku’ dimainkan sekali lagi.

Selesai istiadat berkenaan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai 13 Februari hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.

Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 Februari ini. - Bernama