Resah PSG menjelang aksi menentang Bayern

Galtier akan menilai semula prestasi pemain PSG menjelang aksi menentang Bayern pada Rabu. - Foto EPA
Galtier akan menilai semula prestasi pemain PSG menjelang aksi menentang Bayern pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

KEKALAHAN Paris Saint-Germain (PSG) kepada Monaco 1-3 dalam kancah Ligue 1 awal pagi Ahad mencetuskan resah kepada jurulatihnya Christophe Galtier.

Lebih membimbangkan PSG akan berdepan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu ketika bintang mereka, Lionel Messi menyertai Kylian Mbappe dalam senarai kecederaan.

Ia merupakan kekalahan ketiga PSG daripada tujuh perlawanan liga terakhir.

Pada aksi itu, Achraf Hakimi dan Sergio Ramos memanaskan bangku simpanan sambil mengesahkan 'virus' telah melanda kem itu yang menyaksikan ketiadaan kelibat Fabian Ruiz.

Juara Bundesliga, Bayern pula menang 3-0 ke atas Bochum menjelang pertemuan pertama pusingan 16 di Parc des Princes dan situasi itu mencetuskan gusar Galtier.

“Beginilah keadaan pasukan ini. Ia pelik tetapi benar. Adalah janggal untuk mengatakan bahawa sebagai pengurus PSG, tetapi ialah realiti yang kami hadapi.

“Kami kurang cekal dalam permainan sendiri. Saya tidak boleh berselindung di sebalik situasi ini,” katanya.

Kekalahan tersebut turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat PSG.

“Kami begitu tempang dan berasa bimbang. Dalam tempoh ini, kami perlu memahami situasi.

“Saya faham kemarahan peminat. Wujudnya kemarahan,” ujar Galtier.

Justeru beliau dan barisan kejurulatihan akan membuat analisis dan menilai semula prestasi para pemain sebelum menyenaraikan kesebelasan utama pasukan.

“Kami akan lihat jika sesetengah daripada mereka yang tidak dapat memulakan perlawanan pada malam ini sedia diturunkan Selasa ini (awal pagi Rabu),” katanya.