Pukul hingga mati: Pengawal keselamatan, pelajar didakwa

Mohd Sabri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad.
Mohd Sabri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pengawal keselamatan dan pelajar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki pada Januari lepas.

Tertuduh Mohamad Sabri Yusoff, 33, dan pelajar berusia 17 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka bertindak menyebabkan kematian Mohd Syhakahalaf Akram Mohd Zakuwan, 27, dengan niat menyebabkan kecederaan dan kematian kepada mangsa pada 29 Januari lalu, kira-kira jam 6.55 petang di sebuah Masjid Tok Guru Pulau Melaka di sini.

Mohamad Sabri boleh didakwa melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sementara itu, pelajar berusia 17 tahun yang didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu dengan Mohamad Sabri boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah kemudian mengarahkan Mohamad Sabri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala pelajar tahfiz berusia 17 tahun diikat jamin RM8,000.

Mahkamah turut menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Erdabayu Subhan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zamri Mat Nawang.

Sebelum ini media melaporkan kematian seorang lelaki di sebuah masjid di Pulau Melaka dan polis menahan lelaki berusia 32 tahun selama seminggu.