Polis siasat ibu bapa kanak-kanak lemas jatuh longkang

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Polis akan menjalankan siasatan terhadap ibu bapa dua kanak-kanak yang lemas dihanyutkan arus deras setelah terjatuh dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan dijalankan bagi menyiasat kemungkinan berlakunya pengabaian melibatkan kedua-dua mangsa.

"Kejadian ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun ibu-bapa kepada mangsa akan disiasat di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain tanpa pengawasan yang akan mendatangkan bahaya.

Pada Sabtu, kegembiraan dua kanak-kanak lelaki yang sedang bermain berhampiran longkang berakhir tragedi setelah terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa berumur 10 tahun telah berjaya ditemui anggota bomba yang menjalankan usaha mencari dan menyelamat manakala seorang lagi mangsa berumur lapan tahun masih belum ditemui.