Lelaki ditahan sebelum sempat seludup minyak petrol

Seorang lelaki berusia 40-an tidak sempat menyeludup 320 liter minyak petrol ke negara jiran apabila ditahan menerusi Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di Kampung Simpangan, Tumpat pada Sabtu.
Seorang lelaki berusia 40-an tidak sempat menyeludup 320 liter minyak petrol ke negara jiran apabila ditahan menerusi Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di Kampung Simpangan, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki berusia 40-an tidak sempat menyeludup 320 liter minyak petrol ke negara jiran apabila dia ditahan menerusi Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di Kampung Simpangan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek yang merupakan warga asing dipercayai telah membuat pengisian secara berulang dari satu stesen ke stesen minyak lain dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, sepasukan anggotanya bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengekori kenderaan tersebut dan berjaya menahannya.

"Hasil pemeriksaan menemui muatan minyak petrol sebanyak 320 liter di dalam beberapa tong jerikin serta tangki yang telah diubah suai.

"Nilai rampasan dianggaran berjumlah RM688 dan pihak kami turut merampas sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser Prado. Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Ujar Azman, pihaknya sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara dari masa ke masa.