Maritim Malaysia capai lebih 1,000 kes tangkapan tahun lepas

Anggota Maritim Malaysia melakukan demonstrasi penyelamatan sempena Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18 pada Sabtu. - Foto Bernama
-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anggota Maritim Malaysia melakukan demonstrasi penyelamatan sempena Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18 pada Sabtu. - Foto Bernama -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

SANDAKAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan 1,143 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan melalui operasi yang telah digerakkan oleh agensi itu sepanjang tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan di kawasan perairan maritim negara.

"Saya dimaklumkan pada tahun lepas sahaja hampir RM4.8 juta hasil rampasan diperolehi, manakala lebih RM45 juta denda atau kompaun telah dikeluarkan kepada pesalah yang telah ditahan oleh pihak Maritim Malaysia.

"Daripada angka yang direkodkan itu, Maritim Malaysia telah membuktikan ia memiliki kemahiran dan kepakaran setanding agensi penguatkuasaan lain di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang tahun Maritim Malaysia ke-18 di sini pada Sabtu.

Pada sambutan kali ini, Maritim Malaysia turut melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa di perairan Sabah iaitu latihan dalam bentuk operasi daripada sudut memperkasakan dan meningkatkan kompetensi keberadaan aset Maritim Malaysia di laut dan udara dalam strategi membanteras jenayah di perairan negara.

Selain Eksesais Maritim Perkasa, orang ramai yang hadir sambutan itu turut menyaksikan demontrasi Pasukan Khas dan Penyelamat (PTK), pameran daripada agensi kerajaan dan berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan.

Sebelas kapal, tiga pesawat udara dan empat bot pengiring keselamatan terlibat dalam acara lintas hormat sambutan. - Bernama