Tular video buang sampah di sungai, pelajar kolej disiasat

Tangkap layar video tular di laman TikTok memaparkan seorang individu membuang sampah di Sungai Penaga, Jalan SS13/6, Subang Jaya pada Jumaat.
Tangkap layar video tular di laman TikTok memaparkan seorang individu membuang sampah di Sungai Penaga, Jalan SS13/6, Subang Jaya pada Jumaat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pelajar sebuah kolej disiasat berhubung video tular memaparkan kejadian membuang sampah dari kenderaan di Sungai Penaga, Jalan SS13/6 di sini pada Jumaat.

Video berdurasi 35 saat itu yang dikesan menerusi TikTok itu memaparkan seorang lelaki menaiki sebuah kereta jenis Perodua Ativa berwarna merah dirakam membuang sampah ke dalam sungai tersebut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek kejadian merupakan seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun telah tampil bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal dijalankan berdasarkan temu bual ke atas suspek mendapati barang yang dibuang ke sungai merupakan makanan iaitu manisan ladu dan manisan barfi kegunaan acara sembahyang.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan jika disabitkan dengan kesalahan membuang apa-apa barang keluar dari kenderaan hukuman denda sehingga RM300," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222," katanya.

Pada Jumaat, tular video di laman TikTok memaparkan seorang individu yang menaiki sebuah kereta membuang sampah di Sungai Penaga, Jalan SS13/6 di sini.