Tiga penyamun dicekup kurang 24 jam

Kereta yang dilarikan tiga suspek dalam kejadian samun di Yong Peng berjaya ditemukan semula di Simpang Renggam. Gambar kecil: Ismail
Kereta yang dilarikan tiga suspek dalam kejadian samun di Yong Peng berjaya ditemukan semula di Simpang Renggam. Gambar kecil: Ismail
A
A
A

BATU PAHAT - Tiga lelaki diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan jenayah samun di sebuah rumah di Yong Peng di sini pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketiga-tiga suspek lelaki tempatan berusia 33 hingga 44 tahun itu ditahan pada jam 2 pagi pada Sabtu di dua lokasi berbeza di Simpang Renggam.

"Sebelum itu, polis menerima menerima laporan daripada seorang warga asing yang menyatakan telah disamun semasa sedang tidur di sebuah rumah di Yong Peng pada jam 4 pagi Jumaat.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM4,000, barangan peribadi dan sebuah kereta Proton Iswara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Susulan laporan diterima itu, Ismail berkata, anggotanya melakukan siasatan dan berjaya mengesan ketiga-tiga suspek di Simpang Renggam dan merampas kereta Proton Iswara yang disamun.

"Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397/379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan," katanya.