[VIDEO] Anak nekad redah asap tebal selamatkan ibu

Enam kedai separa kekal hangus dengan tiga daripadanya musnah 90 peratus dalam kebakaran di Jalan Ulu Dedap, Kampong Gajah pada malam Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Muhamad Rafi Uddin dan Ibnu Abas)

A
A
A

PASIR SALAK - Seorang lelaki nekad meredah asap tebal sambil mendukung ibunya untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan enam kedai di Jalan Ulu Dedap, Taman Malinja, Kampong Gajah di sini pada Jumaat.

Tindakan pantas Muhamad Rafi Uddin Ramli, 27, itu berjaya menyelamatkan nyawa ibunya, Zainun Ishak, 58, setelah kedai runcit mereka terbakar sekitar jam 8.45 malam.

Menurutnya, kebakaran itu berlaku dalam sekelip mata hingga tidak sempat menyelamatkan beberapa barang penting.

"Saya tercium hangit dan nampak asap tebal dari kedai bersebelahan memenuhi ruang bumbung kedai dan pada masa sama, orang yang lalu depan kedai menjerit ada api.

"Tanpa fikir panjang, saya dukung emak kerana dia sakit kaki kesan kemalangan 10 tahun lalu. Saya juga menjerit minta pelanggan dan ahli keluarga yang ada dalam kedai untuk keluar," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Salah seorang mangsa sebak melihat kedai runcit milik keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampong Gajah pada Jumaat.
Salah seorang mangsa sebak melihat kedai runcit milik keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampong Gajah pada Jumaat.

Tambahnya, perniagaan yang diusahakan keluarga dua dekad lalu musnah dengan kerugian lebih RM500,000.

Sementara itu, seorang penduduk, Ibnu Abas Jaafar, 25, melahirkan rasa syukur apabila bapanya, Jaafar Awang, 52 dan ibunya, Noorosita Harun, 43, terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, walaupun reda dengan kejadian itu, kedua ibu bapanya berada dalam keadaan trauma apabila kedai yang diusahakan 10 tahun lalu terbakar di depan mata.

"Saya yang berada di Port Dickson bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada ayah yang teresak-esak. Ibu pula masih bersedih apabila kucing kesayangannya mati dalam kejadian itu.

"Rasa terkilan juga apabila ayah habis banyak untuk ubah suai bahagian belakang (kedai) selain peti ais dan mesin basuh yang saya hadiahkan kepada mereka dua hari lalu juga musnah," katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun (kanan) dan Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa yang terlibat dalam kebakaran enam kedai di Jalan Ulu Dedap, Kampong Gajah.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan enam kedai separa kekal hangus dengan tiga daripadanya musnah 90 peratus dalam kejadian kebakaran.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan kejadian itu melibatkan empat kedai menjual barangan runcit serta kedai perkakasan dan perabot.

Operasi yang tamat pada jam 3.27 pagi itu melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, BBP Teluk Intan, BBP Tapah dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Ayer Tawar serta PBS Pantai Remis.