Gempa bumi Turkiye, Syria: GPTS hantar pasukan misi bantuan

Orang ramai berjalan melepasi bangunan yang rosak di Antakya, wilayah Hatay, Turkiye. - Foto Xinhua
Orang ramai berjalan melepasi bangunan yang rosak di Antakya, wilayah Hatay, Turkiye. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Turkiye-Syria (GPTS) telah menghantar pasukan peninjau dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Turkiye-Syria malam Jumaat.

GPTS dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu dianggotai sembilan petugas daripada Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Malaysia for Syria (MFS), Cinta Syria Malaysia (CSM) dan Childrity yang mewakili 30 NGO kemanusiaan merentasi agama dan bangsa di Malaysia dan Indonesia.

"Misi yang membawa dana berjumlah hampir setengah juta ini akan menumpukan bantuan kepada sokongan peralatan mencari dan menyelamat, perlindungan sementara seperti khemah serta keperluan kendiri yang lain, selain membuat agihan kit musim sejuk termasuk bahan bakar dan alat pemanas, masakan panas dan juga makanan ruji masyarakat Turkiye dan Syria iaitu roti,” menurut kenyataan itu.

Misi itu juga akan menyiapkan dua pusat perlindungan dan pengumpulan barang-barang sumbangan serta koordinasi agihan bantuan yang terletak di Gaziantep, Turkiye dan Azaaz, Syria.

Gabungan itu juga dalam proses penghantaran keperluan pakaian musim sejuk baharu dengan anggaran kos RM150,000 yang disumbangkan syarikat Decathlon menggunakan perkhidmatan kargo penerbangan Turkish Airlines dengan kerjasama Kedutaan Republik Turkiye di Malaysia.

"Selain daripada itu, misi itu juga akan membuat tinjauan bagi melihat keperluan bantuan sokongan perubatan, pemulihan trauma dan psikososial terutama kepada kanak-kanak serta keperluan dalam jangka masa panjang yang lain seperti keperluan pendidikan, bekalan air bersih dan juga pemulihan penempatan mereka yang terjejas,” katanya.

Justeru, gabungan itu menyasarkan dana tambahan RM5 juta, dan rakyat Malaysia boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun NGO di dalam gabungan berkenaan atau melalui pautan bantuangempa.com. - Bernama