‘Ia tidak dihebahkan begitu rupa kalau tidak benar’ - Anwar

Anwar semasa berucap pada pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 pada Sabtu - Foto: RAFEQ REDZUAN
Anwar semasa berucap pada pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 pada Sabtu - Foto: RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Ia tidak dihebahkan begitu rupa kalau tidak benar,” Itu respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin dengan mengatakan bahawa dakwaan memberi kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya adalah satu fitnah yang direka.

Jelas Anwar, sejauh mana keterlibatan bekas Perdana Menteri itu perlu melihat kepada laporan akhir siasatan yang dilakukan.

“Jahat tidak jahat itu tunggu laporan. Ada kebenarannya. Sejauh mana dia terlibat, saya tidak tahu. Siasatan harus dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang diadakan disini, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak NIISe kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Namun, laporan itu dinafikan Muhyiddin dengan menyatakan ia merupakan satu fitnah yang sengaja dilakukan dan direka untuk mencalarkan maruah beliau serta keluarga.

Jelas Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau komited dalam usaha membendung sebarang bentuk kleptokrat dalam kerajaan.

“Tujuan kita nak hentikan. Siapa sahaja Perdana Menteri, menteri kewangan selepas ini, jangan anggap ia tempat untuk dia kayakan anak dan menantu dia. Ini pengajaran,” jelasnya.