Ramai pengguna mengadu gagal akses MyJPJ sejak Jumaat

Tangkap layar aduan orang ramai berhubung kesukaran mengakses aplikasi MyJPJ di Twitter pada Sabtu.
Tangkap layar aduan orang ramai berhubung kesukaran mengakses aplikasi MyJPJ di Twitter pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai pengguna mengadu ekoran masih gagal mengakses aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyJPJ bagi menyemak salinan lesen memandu dan cukai jalan secara digital sejak Jumaat.

Difahamkan, pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa menyebabkan laman sesawang itu menghadapi jumlah trafik yang tinggi hingga menyukarkan orang ramai membuat semakan.

Tinjauan Sinar Harian di laman Twitter pada Sabtu mendapati, majoriti pengguna meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem yang baru dibangunkan itu.

Antaranya, pengguna akaun dengan nama @aliyaahaimanag99 berkata, JPJ seharusnya menaiktaraf sistem itu bagi memastikan proses pendaftaran berjalan dengan lancar sebelum melaksanakannya kepada orang awam.

“Tidak boleh daftar MyJPJ, sering berlaku ralat. Mereka sepatutnya naik taraf dan melakukan nyahpepijat (mencari dan membasmi kesilapan yang terdapat dalam perisian) sebelum membukanya kepada umum.

“Saya sudah cuba menggunakan tiga telefon pintar yang berbeza, tetapi masih gagal,” keluhnya.

Pengguna @AirilHafiz juga turut mengadu gagal untuk mendaftar dalam sistem berkenaan dan mendakwa ia dihasilkan menggunakan peranti penyimpanan dan pemprosesan data yang murah.

“Company (syarikat) manalah yang dapat tender buat aplikasi MyJPJ ini? Kenapa guna server (pelayan) murah? Nak log masuk dari semalam tak dapat,” luahnya.

Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

Bagaimanapun, susulan pelbagai persoalan yang timbul berhubung aplikasi itu, Anthony Loke tampil menjelaskan, memuat turun aplikasi MyJPJ hanya salah satu daripada opsyen bagi mendapatkan salinan digital untuk cukai jalan dan lesen memandu.

"Jangan bimbang, format digital bukan diwajibkan. Masih boleh dapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal daripada JPJ sekiranya perlu.

“Tidak (wajib muat turun aplikasi MyJPJ), pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.