[VIDEO] Pengeluaran KWSP tidak dibangkitkan pada sesi dialog Bajet 2023

Ahmad merasmikan kejohanan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong pada Sabtu.
Ahmad merasmikan kejohanan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Kewangan tidak menerima sebarang cadangan berhubung pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sewaktu sesi dialog Bajet 2023 yang berakhir pada Jumaat.

Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu menjadi bukti pihak yang terbabit dalam 12 siri sesi dialog bermula 26 Januari lalu memahami pengeluaran simpanan KWSP disebabkan keperluan ketika Covid-19.

"Tiada satu pun yang mencadangkan pengeluaran KWSP sewaktu sesi dialog Bajet 2023 membabitkan agensi, kementerian, syarikat, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Ia menunjukkan mereka faham simpanan KWSP dikeluarkan ketika Covid-19 kerana tidak boleh berniaga dan bekerja dengan sempurna serta ada masalah kewangan yang teruk," katanya selepas merasmikan kejohanan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong, di sini pada Sabtu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan kerajaan memandang serius pengeluaran simpanan KWSP rakyat terutama golongan bumiputera yang kini merekodkan caruman berbaki yang terlalu sedikit.

"Sebanyak 44 peratus daripada 7.8 juta pencarum KWSP mempunyai gaji kurang RM2,000 sebulan, manakala 81 peratus pencarum mempunyai gaji RM5,000 sebulan.

"Selain itu, terdapat 5.4 juta pencarum tidak aktif dan 1.2 juta ahli pula hanya mencarum sekali setahun.

"Perkara ini menunjukkan caruman berbaki kepada pekerja bumiputera terlalu sedikit untuk dijadikan bekalan pada hari tua," katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran simpanan (KWSP) menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Sebaliknya, kerajaan sedang berusaha mencari mekanisme terbaik membantu rakyat menangani kos sara hidup tanpa perlu mengeluarkan simpanan KWSP.