'Analisis kadar tolakan bola semua pasukan negara'

KUHAN
KUHAN
A
A
A

ANALISIS menyeluruh berhubung kadar tolakan bola oleh ‘pusher’ merupakan agenda utama legenda hoki negara, S Kuhan dalam mempertajamkan lagi keupayaan semua skuad negara termasuk pasukan remaja menjaringkan gol sewaktu berdepan situasi pukulan sudut penalti.

Kuhan, yang dilantik selaku penasihat pukulan sudut penalti pasukan kebangsaan, berkata analisis itu juga akan dilakukan bagi mengasah lagi keupayaan penahan serta ‘flicker’ untuk menolak masuk bola ke dalam gawang lawan.

“Saya punya idea ketika ini adalah untuk menilai teknik serta perkara-perkara kecil dalam pukulan sudut penalti.

“Saya juga mahu buat analisis kita punya tolakan bola, berapa laju (kadar tolakan bola) kerana perkara-perkara ini akan membawa perbezaan besar dalam pukulan sudut penalti kita,”katanya kepada pemberita pada sesi latihan pertamanya bersama skuad hoki remaja lelaki dan wanita kebangsaan

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat untuk melakukan perubahan besar berhubung teknik diterapkan skuad hoki lelaki kebangsaan ketika ini.

“Kalau tengok Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari dan Muhammad Shahril Saabah mereka semua ini adalah flicker kelas dunia jadi kita punya teknik tak boleh tukar banyak sangat,” katanya.

Kuhan yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti negara itu sebaliknya mahu memberi fokus menguatkan lagi mental pemain Malaysian Tigers selain membantu mereka menumpukan aspek menjaringkan gol.

Beliau pada masa sama juga menerima hakikat bahawa situasi pukulan sudut penalti ketika ini sudah banyak berbeza jika dibandingkan dengan zamannya ketika bergelar pemain suatu ketika dahulu terutamanya sewaktu aspek bertahan.

Katanya, berdasarkan prestasi negara terlibat pada Piala Dunia 2023 di India, bulan lepas, beliau dapat melihat hanya beberapa pasukan antaranya Australia dan Belanda sahaja yang mempunyai rekod baik menyempurnakan jaringan pukulan sudut penalti memandangkan banyak pasukan sudah semakin mantap dalam aspek bertahan ketika situasi berkenaan.

Sehubungan itu, Kuhan berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Arul Selvaraj dalam usaha memperkasakan lagi untuk corak bertahan pemain ketika pukulan sudut penalti.

Mengenai prestasi Malaysian Tigers pada Piala Dunia baru-baru ini, bekas tonggak pertahanan negara itu kagum dengan tahap keyakinan anak buah Arul khususnya ketika mengejutkan New Zealand, 3-2, yang menduduki ranking lebih tinggi daripada mereka.

Skuad hoki lelaki kebangsaan mengakhiri kempen Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 dengan menewaskan Jepun, 3-2, pada aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat ke-15 diraih pada edisi 2018.