Remaja maut, rakan cedera disyaki lumba haram

Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Petani, awal pagi Jumaat.
Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Petani, awal pagi Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan dipercayai akibat lumba haram di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungai Petani, di sini kira-kira jam 2.05 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja berusia 18 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Beliau memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda RS bergesel ketika lumba haram.

“Kedua-dua mangsa dari arah Gurun menghala ke arah Sungai Petani telah bergesel dan terbabas ke kiri jalan.

“Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi, manakala rakannya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mayat remaja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, manakala rakannya masih menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.