MH17: Siasatan dihentikan, apa nasib waris?

Penyiasatan terhadap kes tembakan pesawat Malaysia, MH17 yang meragut 298 nyawa ditamatkan prosidingnya.
Penyiasatan terhadap kes tembakan pesawat Malaysia, MH17 yang meragut 298 nyawa ditamatkan prosidingnya.
A
A
A

MEDIA antarabangsa melaporkan bahawa penyiasatan terhadap kes tembakan pesawat Malaysia, MH17 yang meragut 298 nyawa ditamatkan prosidingnya.

Kapal terbang yang ditembak di Wilayah Donbas, Ukraine pada Julai 2014 lalu itu telah dihentikan siasatan kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mana-mana suspek selanjutnya.

Menurut laporan, Boeing 777-200ER (9M-MRD) itu ditembak semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol (AMS) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL).

Pada November lalu, Sinar Harian melaporkan, mahkamah Belanda mendapati tiga lelaki, iaitu dua warga Russia dan seorang warga Ukraine, bersalah atas tuduhan membunuh dalam kes berkenaan.

Mahkamah membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu itu dilepaskan dengan sengaja untuk menjatuhkan pesawat walaupun sasaran sebenar adalah milik tentera dan bukannya orang awam.

Ketiga-tiga lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun kesemua mereka dilapor berada di Russia.

Dalam perbicaraan terbaharu, pasukan Siasatan Bersama memetik rakaman perbualan telefon antara pegawai kanan Rusia dan gerakan pemisah pro-Rusia, walaupun ia mengakui bahawa rakaman itu tidak secara jelas menyebut peralatan yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.

Namun demikian, meskipun siasatan telah dihentikan, Australia berikrar untuk mempertanggungjawabkan Rusia kerana telah menembak jatuh pesawat MH17 yang meragut kesemua nyawa itu.

Keputusan yang sememangnya menghampakan waris keluarga mangsa penumpang itu terpaksa dibuat setelah penyiasat gagal mendapat kerjasama daripada Moscow dan kekurangan saksi yang tampil memberi keterangan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dan Peguam Negara, Mark Dreyfus dalam satu kenyataan bersama mendakwa Moscow berulang kali cuba menggagalkan siasatan tersebut.

“Adalah mustahil untuk mengumpulkan bukti. Kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan keengganan Moscow untuk bekerjasama menyukarkan proses siasatan itu hingga ia terpaksa dihentikan,” ujarnya.

Jelasnya, siasatan itu terpaksa digantung kerana segala petunjuk kini menemui jalan buntu.

“Putin sendiri tidak boleh ‘disentuh’ buat masa ini. Beliau masih kebal di bawah undang-undang antarabangsa kerana kedudukannya sebagai presiden,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Rusia menafikan penglibatan mereka malah ia turut menyelar keputusan mahkamah yang disifatkan bermotifkan politik.