Sinar Daily rangkul anugerah pertama Anugerah Media MSOH 2022

Siti Nur Fatihah Pirdaus ketika menerima anugerah. - Foto Sinar Daily
Siti Nur Fatihah Pirdaus ketika menerima anugerah. - Foto Sinar Daily
A
A
A

SHAH ALAM - Walupun baru berusia setahun, Sinar Daily telah berjaya memenangi anugerah pertamanya di Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOH) melalui laporan 'Sick Building Syndrome'.

Tiga siri laporan iaitu 'Sick Building Syndrome: Victims taken lightly', 'Sick Building Syndrome: Do you have any of these symptoms?' and 'Sick Building Syndrome: Could be the reason for your headaches at work’ berjaya memenangi tempat pertama untuk kategori Media Cetak dan Portal Berita.

Laporan khas pertama yang diterbitkan pada 1 Januari 2022 itu juga merupakan hari pertama portal berita Sinar Daily disiarkan secara rasmi.

Penerima, Siti Nur Fatihah Pirdaus, 24, merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan Sinar Daily dan editor yang menjadikan perkara yang mustahil itu menjadi nyata dan membimbingnya ketika dia merupakan seorang wartawan baharu.

Fatihah juga berharap anugerah MSOH menjadi permulaan kepada anugerah yang seterusnya pada masa hadapan.

“Ini adalah detik yang nyata bagi kami kerana ini adalah laporan khas pertama kami dalam Sinar Daily, jadi kami tidak terlalu menjangkakan perkara ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada editor saya, Nurzuhairah Tasnim Lokman dan Syahirah Mokhtazar yang membimbing saya sejak awal.

"Kami menghasilkan sesuatu yang baik sehingga memenangi anugerah ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua rakan seperjuangan; pergi dan dapatkan lebih banyak anugerah untuk Sinar Daily," katanya selepas menerima anugerah itu di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Laporan Fatihah berjaya menewaskan dua laporan berita Bernama yang dicalonkan di bawah kategori yang sama.

Anugerah MSOH ialah anugerah tahunan disampaikan kepada organisasi di Malaysia yang mempunyai prestasi cemerlang terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).

MSOH menganjurkan MSOH Media Award 2022 bagi memberi pengiktirafan kepada pengamal media yang telah membuat laporan media melalui media cetak, media elektronik atau siaran radio berkaitan semua isu kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja atau di tempat awam sepanjang 2022.