KPDN pastikan Menu Rahmah tidak bermusim

Salahuddin (tengah) dan Aminolhuda (kanan) melihat Menu Rahmah ditawarkan di Wachaa Burger Parit Raja, Batu Pahat pada Khamis.
Salahuddin (tengah) dan Aminolhuda (kanan) melihat Menu Rahmah ditawarkan di Wachaa Burger Parit Raja, Batu Pahat pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan Menu Rahmah yang diperkenalkan dapat bertahan lama dalam usaha kerajaan berterusan membantu rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagi memastikan usaha berkenaan konsisten dan tidak bermusim, KPDN memerlukan kolaborasi daripada pelbagai pihak.

"Ini termasuk memperluas kerjasama dengan pembekal bahan mentah dan pengusaha kedai makan serta restoran juga beberapa pihak yang lain.

"Saya akur dan memerlukan satu sinergi sebab KPDN tidak boleh bekerja sendirian bagi menjayakannya (Menu Rahmah), saya akan lakukan libat urus antara pihak industri makanan, pembekal bahan mentah dan kedai makan serta restoran.

"Kita juga akan libatkan syarikat makanan segera bagi memastikan menu ini bertahan lama serta kelangsungan lebih lama dan bukannya 'one off' atau untuk sehari dua sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan penyediaan Menu Rahmah di Wachaa Burger Parit Raja di sini pada Khamis.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, keputusan bagi rundingan akhir bersama-sama rangkaian syarikat makanan segera itu dijangka diumum minggu hadapan.

Pengumuman itu ujarnya, melibatkan menu yang akan ditawarkan rangkaian syarikat makanan segera dengan harga berpatutan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Pihak kementerian juga terbuka menerima pandangan daripada umum untuk menambah baik Inisiatif Rahmah berkenaan," kata Ahli Parlimen Pulai itu.