'Terima kasih lantik kami'

Nik Mohd Noor Azwan
Nik Mohd Noor Azwan
A
A
A

KOTA BHARU - Pelantikan Parti Bangsa Malaysia (PBM) negeri Kelantan untuk melakukan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bertepatan usaha parti itu menambah jumlah keahlian di negeri ini.

Pengerusi PBM negeri Kelantan, Nik Mohd Noor Azwan Mustapha berkata, surat pelantikan diterima bulan lalu itu juga sesuai hasrat parti yang menawarkan 'politik khidmat' untuk rakyat.

"Terima kasih lantik kami untuk bersama memperkasa Malaysia Madani di bawah pimpinan kerajaan hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, landskap politik di negara ini sudah banyak berubah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk PBM Kelantan.

Tambah Nik Mohd Noor Azwan, parti itu sudah menstrukturkan semula jawatankuasa negeri yang kini dianggotai oleh 85 peratus pimpinan asal terdiri daripada muka baharu dan golongan profesional.

Selain itu katanya, PBM Kelantan akan terus memperkasa parti dan menambah keahlian berdasarkan politik khidmat itu.

"Tujuan penting kita ialah mengangkat kepimpinan anak muda, memperkasa peranan wanita dalam setiap ruang sosio ekonomi dan meraikan kepelbagaian antara kaum," katanya.

Surat yang ditandatangani oleh Presiden PBM Malaysia, Datuk Larry Sng Wei Shien bertarikh 20 Januari 2023 memaklumkan PBM Kelantan boleh mewakili pusat (PBM) untuk semua program parti politik Kerajaan Perpaduan.

Melalui surat itu juga, PBM pusat berharap dapat memperkasa dan meningkatkan teras perjuangan parti itu.

Dalam pada itu, Nik Mohd Noor Azwan turut memberitahu belum bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

"Saya belum bersedia untuk bertanding tetapi akan menyokong parti dalam kerajaan bagi meneruskan perjuangan di negara ini," katanya.