Gempa Turkiye, Syria: Jakim, Jawi laksana kutipan derma di masjid

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan kutipan derma di masjid di bawah seliaannya untuk bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan melaksanakan kutipan derma di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kutipan akan dibuat pada setiap hari Jumaat selama tiga minggu berturut-turut mulai esok," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, wang sumbangan itu akan disalurkan kepada tabung rasmi yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia.

"Jabatan ini ingin mengesyorkan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri untuk turut mengadakan kutipan derma dan sumbangan umat Islam menerusi masjid di seluruh negara untuk tujuan ini.

"Semoga sumbangan kecil kita ini akan dapat membantu urusan menyelamat dan meringankan beban mangsa bencana di Turkiye dan Syria yang kini sedang dilanda ujian besar," katanya.