Gempa Turkiye: Doakan wira kami selamat pergi dan kembali - Isteri

Mohd Safuan Mohmood memeluk anak-anaknya di KLIA Sepang sebelum berlepas untuk menyertai operasi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye malam tadi. - Foto Awani
Mohd Safuan Mohmood memeluk anak-anaknya di KLIA Sepang sebelum berlepas untuk menyertai operasi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye malam tadi. - Foto Awani
A
A
A

SEPANG - Saya harap, dipermudahkan segala urusan dan selamat pergi dan balik.

Demikian doa seorang isteri ketika menghantar suaminya menyertai misi mulia, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turkiye.

Isteri mana yang tidak sedih, apatah lagi bimbang, lebih-lebih lagi menyedari tugasan tersebut datang bersama risiko yang tinggi.

Ini kerana, gempa susulan dilaporkan masih berlaku di kedua-dua negara itu dan kawasan runtuhan bangunan juga dipenuhi bahaya yang kadangkala tidak dijangka.

Namun, menginsafi bahawa kepakaran suami mereka amat ditagih dalam waktu yang mendesak ini, demi menyelamatkan nyawa, semua kebimbangan dan kerisauan diletak ke tepi, sebaliknya kata-kata semangat terus diberi.

Seorang isteri anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terlibat dalam misi itu, Salbiah Salleh, mengakui hatinya tidak keruan sebaik dimaklumkan suaminya, Shahronee Shah Abd Manap, menerima tugasan berkenaan.

"Suami saya anggota SMART, memang itulah tugasnya. Tetapi, perasaan saya bercampur, sedih dan ada juga bangga. Kita juga (bimbang kerana) tahu bagaimana keadaan di sana.

"Memang sebak. Lebih-lebih lagi mengenangkan suami juga terpaksa meninggalkan empat cahaya mata demi melaksanakan tugasan berisiko berkenaan.

"Saya harap dipermudahkan segala urusan dia serta pasukan dan dia selamat pergi dan balik," katanya ketika ditemui mengiringi suaminya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Perasaan sama turut dizahirkan Nur Azlin Mohd Nor, isteri kepada seorang lagi anggota SMART, Mohd Safuan Mohmood.

Menurut Azlin, ini penugasan kali pertama suaminya di kawasan bencana di luar negara dan ia agak mengejutkan kerana hanya dimaklumkan pada saat akhir.

"Tiba-tiba suami beritahu perlu siapkan barang-barang untuk dia pergi malam ini (malam tadi).

"Kita terkejutlah, ingatkan suami bergurau, rupanya lepas Maghrib tengok barang semua dah siap kemas," katanya yang berharap suaminya dapat melaksanakan tugas dengan baik di Turkiye.

Shahronee Shah dan Mohd Safuan adalah antara 70 anggota kumpulan kedua SMART yang berlepas ke Turkiye malam tadi bagi menyertai misi SAR di negara berkenaan.

Secara keseluruhan, Malaysia sehingga kini menghantar 140 anggota SMART ke kawasan bencana di Turkiye, yang dipecahkan kepada beberapa unit pasukan kecil mengikut objektif dan keperluan yang berbeza.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dilapor berkata, kumpulan penyelamat terbabit ditempatkan di pelbagai lokasi, terutama di Gaziantep dan Adana. -Awani