Tampil bantu keperluan mendesak mangsa gempa di Turkiye, Syria

Siti Sakinah
Siti Sakinah
A
A
A

SHAH ALAM – Pertubuhan Syria Care tampil menghulurkan bantuan atas keperluan mendesak berikutan ramai yang masih tertimbus di bawah runtuhan selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, perkara ini memerlukan tindakan segera daripada semua pihak dan apa yang dimahukan oleh mereka adalah bagi membantu menyelamatkan nyawa.

“Gempa bumi yang berlaku kali ini adalah antara yang paling teruk. Dengan kemampuan pihak kerajaan atau kerajaan tempatan, (mereka) tidak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku.

“Oleh kerana itu, kami sebagai NGO tampil menghulurkan bantuan kerana keperluan yang terlalu mendesak disebabkan masih ramai orang tertimbus di bawah runtuhan rumah-rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Turkiye, Syria Bergegar!’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel, warga Malaysia di Turkiye, Nik Mohd Dhiya’ Nik Mohd Rosdi dan program dikendalikan oleh moderator, Hazwan Mokhtar.

Pada Isnin, dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria, mengakibatkan lebih ribuan orang terbunuh dan ramai yang cedera.

Gempa yang melanda ketika awal pagi semasa musim sejuk itu turut boleh dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Mengulas mengenai Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care untuk Turkiye & Syria, Siti Sakinah berkata, sumbangan terkini yang terkumpul di akaun Syria Care berjumlah RM68,000.

“Kami menyasarkan untuk mengumpul RM250,000 untuk kita hantar ke sana. Namun kami telah menggerakkan bantuan awal dan sudah pun memulakan agihan penyediaan makanan,” katanya.

Ujar Siti Sakinah, pihaknya mengharapkan kerjasama semua pihak iaitu rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu mereka yang terjejas akibat gempa bumi di negara berkenaan.