SK Temai ditenggelami air, sesi pembelajaran ditangguh

SK Temai ditenggelami air sedalam 0.5 meter sejak Selasa. (Gambar dalam : Razali)
SK Temai ditenggelami air sedalam 0.5 meter sejak Selasa. (Gambar dalam : Razali)
A
A
A

PEKAN - Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini terpaksa ditangguhkan sejak Selasa susulan kawasan terbabit ditenggelami air sedalam satu meter.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan membabitkan seramai 141 murid di sekolah berkenaan.

"Kita tidak beri (benarkan) murid untuk datang ke sekolah kerana keseluruhan kawasan sekolah ditenggelami air.

"Bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini lebih baik sesi ditangguhkan seketika dan selepas keadaan pulih, mereka (murid) boleh kembali seperti biasa sekolah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau memaklumkan limpahan air dari Sungai Pahang yang terletak beberapa meter menyebabkan sekolah itu mudah dinaiki air.

Katanya, sekolah itu pernah berdepan banjir termenung selama beberapa minggu menyebabkan air terpaksa disedut menggunakan pam dengan bantuan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pekan.

"Kedudukan SK Temai yang hampir dengan Sungai Pahang menjadi antara faktor banjir mudah berlaku pada setiap musim tengkujuh.

"Terdapat 13 sekolah di daerah ini dikenal pasti sering ditenggelami banjir setiap kali tiba Monsun Timur Laut. Ia membabitkan 11 sekolah rendah dan dua menengah yang terletak berhampiran Sungai Pahang," ujarnya.

Mohd Razali berkata, apabila air surut, sekolah terbabit akan mengadakan program gotong-royong kerja pembersihan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), beberapa agensi lain serta penduduk setempat.